KUALA LUMPUR – Seramai 50 pelabur yang mengalami kerugian hampir RM15 juta akibat skim pelaburan melibatkan syarikat Alpha Capital (M) Berhad kini tampil menuntut pembelaan melalui saluran perundangan.
Bertindak mewakili kumpulan pelabur terbabit, firma guaman Tetuan Hisyam Yunus & Co telah memfailkan Petisyen Penggulungan Syarikat (Winding Up Petition) terhadap Alpha Capital di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Menurut Peguamcara Pempetisyen, Muhammad Hisyam Md Yunus, syarikat tersebut bukan sahaja gagal memulangkan wang pelaburan seperti dijanjikan, malah telah melanggar perintah mahkamah yang terdahulu.
“Alpha Capital bukan sahaja gagal menunaikan janji pulangan pelaburan, malah turut melanggar Injunksi Mareva yang diperintahkan Mahkamah pada September 2024.
“Kami percaya penggulungan syarikat ini adalah langkah paling wajar dan perlu bagi membela nasib para pelabur serta membolehkan wang mereka dapat dikembalikan melalui proses likuidasi dan semakan transaksi, termasuk pengurusan akaun syarikat oleh pengarah-pengarah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan di ibu pejabat firma guaman tersebut di ibu negara.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 20 hari ke atas dua pengarah firma pelaburan Alpha Capital (M) Bhd kerana menghina mahkamah selepas gagal mematuhi injunksi Mareva yang dikeluarkan dalam saman sivil membabitkan pelanggaran kontrak
Pesuruhjaya Kehakiman Yusrin Faidz Yusoff menjatuhkan hukuman itu terhadap Syed Mahadzir Fadaak Syed Jamil Fadaak dan isterinya Erna Elliyana Rosli kerana kegagalan mereka mematuhi dua perintah mahkamah bertarikh 5 September dan 22 November tahun lalu.
Hisyam, Peguam
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan hukuman penjara selama dua bulan bagi memberi ruang kepada pasangan tersebut mematuhi arahan sepenuhnya atau berdepan pelaksanaan hukuman jika gagal berbuat demikian.
Difahamkan, pelabur dijanjikan pulangan sehingga lima peratus sebulan, namun pembayaran hanya berlangsung dalam tempoh terhad sebelum terhenti sepenuhnya tanpa sebarang penjelasan konkrit daripada pihak syarikat.
Antara mangsa yang ditemui media termasuk seorang pelabur yang kerugian RM1 juta, manakala seorang lagi kehilangan keseluruhan wang simpanan berjumlah RM600,000.
Tindakan ‘winding up’ jadi penanda aras baharu dalam perlindungan pelabur
Menurut Hisyam, keputusan penggulungan syarikat yang dijangka diputuskan pada 4 November ini bukan sahaja penting dalam mendapatkan kembali dana pelaburan, malah berpotensi menjadi rujukan dalam sistem perundangan negara bagi melindungi pelabur daripada penipuan korporat.
“Kami berharap mahkamah memberikan keputusan yang berpihak kepada pelabur. Tindakan ini bukan semata-mata bagi mendapatkan kembali wang mereka, tetapi untuk menegakkan akauntabiliti dan ketelusan dalam ekosistem pelaburan negara,” ujar Hisyam.